Monday, April 28, 2008

Percaturan Seniman Muda



Rentetan dari 360 darjah, kepada satu lagi titik...

Bismillah,
Salam serta selamat sejahtera kepada pembaca budiman,

Seni Tampak di Malaysia masih lagi diteruskan pencarian haluannya, pada tanggal 25 April 2008 satu pameran karya seni tampak telah berlangsung di Threesixty Studio Sdn Bhd di Desa Park City, Kuala Lumpur. Pameran yang telah berlangsung buat julung kalinya di galeri tersebut merupakan pameran pertama bagi galeri tersebut sempena dengan perasmian pembukaannya.

Dengan bertemakan "Love, Art and Passion", seramai tujuh orang seniman memperlihatkan kekuatan masing-masing menerusi karya mereka dalam bentuk seni catan dan juga seni arca. Mereka yang terlibat adalah terdiri daripada gabungan seniman muda seperti saudara Haslin Ismail, Ruzeki Harris, Arham Azmi, Mohd Radzi, Husin Hourmain, saudari Rozana Musa dan Samsudin Abdul Wahab.




Setiap karya yang dipamerkan mempunyai pendekatan, gaya, serta intipati yang berbeza. Penyampaian secara visual merupakan tanggungjawab serta kekuatan setiap insan yang mahu bergelar seniman tampak (visual artist). Tugas atau tanggungjawab yang dipikul oleh seorang artis visual bukanlah hanya pada sentuhan berus, warna atau kanvas semata-mata, malahan dari sudut intipati karya, interaksi serta penghayatan kepada penilai fungsi seni itu sendiri juga dititik beratkan bagi menampakkan daya intelektual seniman tersebut.

Daripada pengamatan serta temuramah bersama saudara Haslin Ismail 24, beliau telah menghasilkan karya-karya yang berbentuk seni catan dengan gaya pemudaratan (stylization) imej serta objek yang beliau tonjolkan dalam karya beliau. Karya beliau juga boleh dikatakan hasil dari gabungan pelbagai gaya seni tampak seperti Abstract Expressionist, Naive art dan juga seni fantasi (fantasy art). Dengan menonjolkan tentang ekspresi diri (self expression) dan tertumpu kepada faktor psikologi, beliau ingin membawa pengamat seni berkongsi bersama di sebalik keghairahan beliau menerusi karya seni visual. Karya beliau juga lebih memperlihatkan penggunaan metafora serta proses karya yang merakam situasi dalam aspek secara individu.

Manakala berbeza pula dengan penyampaian karya visual Ruzzeki Harris atau lebih mesra dikenali sebagai 'akie'. Beliau telah menggunakan imej serta subjek mitos serta fantasi masyarakat Cina. Antaranya ialah penggunaan imej singa, sinonim dengan masyarakat Cina sebagai 'Penjaga' mereka. Penyampaian karya beliau berlatar belakangkan diri beliau sendiri (self experiences) yang telah menjalani kehidupan dalam keluarga Cina. Sedikit sebanyak ilham karya beliau memperlihatkan tentang pengaruh masyarakat Cina terhadap watak 'Singa' sebagai 'Penjaga' mereka, begitu juga dengan beliau yang sentiasa mencari panduan menerusi pengamatan terhadap sesuatu.

Dalam menonjolkan elemen 'Love, art, passion' ini, Husin Hourmain, yang tidak asing lagi namanya dikalangan artis seni visual kontemporari telah menggunakan gaya ekspresi abtrak (abstract expressionist) dalam penyampaian hasil karya beliau. Dengan kombinasi warna yang harmoni dan kontra, beliau berjaya menyampaikan ekspresi diri beliau terhadap karya yang dihasilkan. Menurut beliau, karya yang dipamerkan dalam pameran ini adalah hasil dari kesinambungan dan proses karya (body of Works) beliau dipameran "Zero to something, Zero to nothing" yang berlangsung di Pace Gallery, Petaling Jaya.

Sungguh pun karya beliau abstrak dan sukar difahami oleh kebanyakan individu, tetapi bagi yang melihatnya secara langsung (live) pasti akan merasai ekspresi karya beliau melalui pengamatan terhadap rentak mainan berus, garisan yang bertenaga dan juga pengolahan warna-warna beliau. "Apa yang termampu bagi saya sebagai artis visual untuk menyuarakan luahan serta ekspresi diri terhadap sesuatu adalah melalui penterjemahan secara visual.. dan ini adalah realiti bagi diri saya sebagai seorang pelukis.." ulas beliau dengan mesra. Menurutnya lagi, penjanaan idea dari kepekaan terhadap persekitaran alam dan unsur spiritual adalah antara kunci kekuatan beliau dalam berkarya.

"Dalam berkarya, kekuatan dari fizikal dan mental adalah sangat penting.." jelas Arham Azmi. Beliau telah menghasilkan siri-siri lukisan pen atas kanvas yang berimejkan Gorila dan Helang dengan pelbagai sudut dan ekspresi yang berbeza dari dua jenis haiwan tersebut. Beliau menggunakan imej dua jenis haiwan tersebut sebagai metafora serta ikonografi terhadap 'kekuatan'. Karya beliau yang dihasilkan pada pameran ini berlandaskan elemen garisan dengan menggunakan media pen. Tujuan beliau menggunakan semula elemen garisan ini adalah bertujuan untuk mengembalikan nostalgia kebolehan asas seni (basic of art) seseorang individu yang bergelar artis visual.

Namun kelainan presentasi atau persembahan karya bagi Mohd Radzi dan Rozana ternyata berbeza sama sekali seperti artis visual yang lain dalam pameran ini. Kedua-duanya tampil dengan persembahan bentuk arca seramik dan gabungan material lain. Bagi Mohd Radzi, keunikan alam akuatik laut begitu memukau beliau sekaligus memberikan ilham kedalam karya beliau. Hasil karya seni arca dinding (wall sculpture) menjadi pilihan beliau dalam mempamerkan keindahan motif dan bentukan karya seramik. Beliau yang berasal dari Langkawi merasakan terdapat satu 'panggilan' buat dirinya bagi menghasilkan karya-karya hasil dari dari subjek seperti terumbu karang, hidupan bercengkerang dan warnanya.

Rozana pula lebih kepada bentuk persembahan karya secara instalasi tiga dimensi (3D). Beliau telah menggunakan bahan seperti arca seramik dan juga botol kaca, dimana beliau telah memasukkan arca seramik yang pelbagai bentuk menyerupai buahan dan sayuran kedalam botol-botol kaca. "Karya saya lebih kepada bentuk seni arca seramik, namun apa yang ingin saya sampaikan adalah lebih kepada persoalan-persoalan isu yang timbul dari karya saya" jelas beliau. Sememangnya dunia seni arca seramik merupakan satu proses yang sukar, namun dengan semangat yang ditunjukkan oleh artis muda seperti Radzi dan Rozana ini harus dipuji dan diberi galakan.

Segala luahan dan ekspresi yang ditonjolkan oleh setiap seniman muda dalam pameran "Love, Art and Passion" ini harus diberi galakan dan kritikan yang positif diatas usaha mereka untuk memartabatkan dunia seni lukis dan seni reka di negara kita dengan kepelbagaian idea untuk mencuba dalam proses memajukan pemikiran secara kritital dan artistik. Usaha penggiat seni lukis kontemporari ini juga boleh kita renungkan dengan pernyataan yang pernah disebut oleh penulis dan juga pengkritik seni.

“Kepelbagaian stail dan teknik yang secara kolektif dikenali sebagai ‘School of Paris’, menampilkan status moden sipelukis, berserta dengan satu pendekatan baru dalam melukis. Pelukis menyandang kedudukan wiraan, ditingkatkan lagi dengan sifat keindividuan dan keazaman tersendirinya, yang mahu bebas daripada sekatan-sekatan yang sedia ada. Kegiatan melukis dilihat sebagai suatu usaha yang tak berkesudahan ‘mencari sesuatu yang baru’, tanpa terkongkong dengan dogma estetik” antara ulasan T.K Sabapathy dalam penulisan “The Nanyang Artist: Some General Remarks’, Essei terkandung dalam katalog pameran “pameran retro perspektif Pelukis-pelukis Nanyang, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur 1978.